• Imagen 1 BERAMAL KERANA ALLAH
    Beramal kerana Allah,Pemuda melangkah gagah,Menjana kuasa rakyat,Bersiap menghadapi cabaran,Semarakkan semangat perjuangan,Usahlah kita terus terleka,Menegak kemaarufan menentang kemungkaran,Allah pasti bersama...

Mahfuz gesa Najib minta maaf label rakyat ‘ketagih subsidi’

Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR, 22 Mei — PAS mendakwa pentadbiran Najib mengalih beban akibat defisit fiskal ke atas bahu rakyat dengan memotong subsidi ke atas barang-barang keperluan asas. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Putrajaya tidak mampu mencari jalan untuk memotong perbelanjaannya tetapi rakyat pulai terpaksa “membayar subsidi kepada kerajaan untuk membayar hutangnya.”
“Ini sebuah kerajaan yang lemah, yang tidak boleh mengurangkan defisitnya tanpa membebankan rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan kini mengambil wang daripada saku rakyat untuk membayar defisitnya.
Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memanggil pilihan raya tergempar tahun ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meneruskan langkah pemotongan subsidi bagi mengurangkan beban subsidi yang dijangka mencecah RM21 bilion tahun ini.
Mahfuz juga mengkriitk Najib kerana menggambarkan subsidi sebagai “candu” ketika bercakap di depan khalayak luar negara.
“Beliau memberitahu komuniti antarabangsa bahawa rakyat Malaysia ketagih subsidi. Ini satu penghinaan dan beliau seharusnya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf,” kata beliau.
Dalam satu kenyataan di London 16 Mei lalu, Najib berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.
“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau.
Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.
“Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.
“Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan,” katanya lagi.
Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.
Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.
Minggu lalu, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.
Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.
Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa dua minggu lalu.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, subsidi kepada barang-barang keperluan asas seperti minyak dan gula tidak seharusnya dilihat sebagai herot-benyot kepada pasaran, sebaliknya ia “tanggungjawab kerajaan untuk mengurangkan beban orang ramai.”
“Ia satu mekanisme bagi pengagihan kekayaan. Kerajaan harus mengurangkan perbelanjaannya sendiri daripada menarik balik hak rakyat,” kata beliau lagi.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Donald Lim berkata kerajaan telah mengarahkan semua jabatan kerajaan agar memotong perbelanjaan ekoran peningkatan kos

Terkini: Kes Tanah Runtuh, Dua Belas Terbunuh


KAJANG, 
22 Mei - Sebanyak 12 mayat berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat yang berlaku pada pukul 2.30 petang, Sabtu. Polis memaklumkan sehingga pukul 10.30 malam, sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun. Sebanyak empat mangsa lagi masih tertimbus dalam runtuhan itu setakat ini. 

Terdahulu, sehingga pukul 7 malam, anggota bomba dan penduduk berjaya menyelamatkan tujuh mangsa yang terdiri daripada enam pelajar berusia antara 11 dan 17 tahun serta seorang penjaga di rumah anak yatim berkenaan. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang dan Hospital Ampang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui. 

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Dalam insiden malang itu, sebanyak 24 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa. Tambahnya, kesemua penghuni rumah tersebut adalah lelaki.

[Sementara itu seorang lelaki yang tertimbus lapan jam dalam kejadian tanah runtuh di rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat dikeluarkan dengan selamat. Lelaki dikenali sebagai Abang Iwan berusia 33 tahun itu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.20 malam tadi. 

Dalam pada itu seorang lagi mangsa tanah runtuh terbabit dipercayai telah meninggal dunia di Hospital Ampang malam tadi. Kami sekali lagi mengucapkan salam takziah buat semua yang terlibat dan terselamat dalam insiden yang mengerikan ini hendaknya].

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.
“Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis beliau di laman twitter malam ini.
Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.
"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.
"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan lima mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan yang berumur antara 11 hingga 14 tahun telah berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 8.00 malam ini.

Nasrudin kekal Ketua Pemuda PAS, tiga dicalon tarik diri

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi mengekalkan jawatannya selepas tiga orang yang dicalonkan membuat keputusan tidak mencabar beliau kali ini.
Nasrudin telah memegang jawatan itu sejak 2009 dengan menggantikan Salahuddin Ayub.
Kelmarin beliau mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu.
“Ya, saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, insya-Allah saya akan melaksanakan tugas dan tanggungawab ini dengan baik.
“Atas semangat berlumba-lumba untuk mencari kebaikan saya akan (pertahankan jawatan) dan saya percaya calon-calon lain juga mempunyai potensi serta kelayakan yang baik,” katanya.
The Malaysian Insider difahamkan pucuk pimpinan Pemuda PAS pusat telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi antaranya membincangkan pertandingan jawatan utama pada pemilihan awal bulan depan.
“Ya, kita telah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan memberikan fokus kepada muktamar dan pemilihan Dewan Pemuda PAS.
“Kita menetapkan agenda Pemuda PAS, usul yang mahu dibentangkan, ucaptama dan isu pemilihan yang mana akan menentukan jawatan-jawatan, tapi bukan semua yang sudah buat keputusan,” kata sumber itu menambah, tiada fokus mengenai soal kompromi saingan.
“Cuma disentuh tentang keperluan saingan secara sihat,” katanya.
Dua hari lalu, Timbalan Ketua Pemuda PAS pusat Azman Shapawi Abd Rani dan Pengarah Pilihan Raya Mohd Firdaus Jaafar memutuskan untuk tidak bertanding jawatan itu.
Azman Shapawi berkata sekiranya Nasrudin mempertahankan jawatan itu, maka beliau hanya akan bertanding kerusi timbalan yang disandang sekarang.
Sementara itu, Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai memutuskan bertanding jawatan nombor dua Pemuda PAS.
Terbaru Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat pula memutuskan untuk tidak bertanding, sebaliknya hanya akan mencuba nasib bertanding jawatan nombor dua sayap pemuda itu dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.
“Setelah mempertimbangkan pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh ahli-ahli PAS seluruh negara, maka saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding secara harmoni dan penuh ukhuwah jawatan timbalan ketua Pemuda PAS pusat dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat,” kata beliau.
“Saya berdoa kepada Allah, jika amanah ini boleh meninggikan Islam maka saya sanggup memikulnya.
“Sebaliknya jika amanah ini tidak boleh meninggikan Islam maka amanahkanlah kepada pemimpin lain yang lebih layak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
The Malaysian Insider difahamkan setakat ini hanya Azman Shapawi, Mohd Firdaus dan Suhaizan sudah mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan ketua pemuda.
Seramai sembilan orang layak bertanding, bagaimanapun Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof membuat keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan sayap pemuda itu namun akan bertanding ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.
“Saya tidak akan tanding jawatan dalam Pemuda PAS, saya mahu beri laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk berada dalam kepimpinan itu,” kata Ahmad Sabki.

‘Saya gembira Presiden PAS lawat kampus Insaniah’

KUALA KETIL, 18 Mei:  “Saya merasa seronok apabila Presiden PAS, YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang datang ke Negeri Kedah untuk melihat tapak projek pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil.”
Itulah kata-kata Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada rombongan Jawatankuasa Harian PAS Pusat ke Negeri Kedah yang diketuai oleh YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di tapak projek pembinaan kampus tetap KUIN di sini.
Menteri Besar memberitahu, tujuan utama PAS Pusat mengadakan lawatan ke Negeri Kedah adalah untuk melihat projek yang dilaksanakan di negeri ini.
“Kita mengalu-alukan kedatangan rombongan Presiden PAS ke negeri Kedah Darul Aman bagi meninjau perkembangan projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Menurutnya, kampus tetap KUIN di sini kini giat dibangunkan mengikut jadual  dan pembinaan kampus tetap ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2013.
“Projek ini sudah 26 peratus siap dan apabila siap kelak, kampus tetap KUIN di sini mampu menampung seramai 10,000 penuntut,” katanya.
Sementara itu, YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, beliau amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Kedah.
“Kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Kedah sangat baik setelah mendengar taklimat mengenai perkembangan projek yang dilaksanakan di negeri ini oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak,” tambahnya.
Abdul Hadi berharap dengan adanya lawatan itu, ia secara tidak langsung dapat memberi gambaran terbaik dalam usaha meninjau perkembangan projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, YB. Dato’ Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

SMS palsu cuba burukkan Kerajaan Negeri

Satu khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu sedang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua bil air SADA boleh diserahkan kepada MKK untuk diselesaikan melalui peruntukan kerajaan Negeri.
YB Dato’ Amiruddin, Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dihubungi menafikan kenyataan tersebut dan menganggap penyebaran tersebut amat tidak bermaruah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga menyatakan rasa kesal Kerajaan Negeri diatas perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dan berharap usaha pihak terbabit dihentikan segera.
Perbuatan pihak tersebut hanya bertujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat jelata dan menggugat kesejahteraan rakyat Negeri Kedah.
Terakhir Dikemaskini (Khamis, 19 Mei 2011 21:05)

Bandar Sejahtera yang diimpikan


ALOR SETAR – Bandar yang sejahtera merupakan bandar yang mampu memberi keamanan, keselesaan, selamat didiami, bersih, indah dan dapat memberi kenikmatan hidup dalam suasana riang gembira serta dalam pemeliharaan Allah S.W.T.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, setiap pembangunan perbandaran perlu dilihat dan diberi penekanan ke arah mewujudkan persekitaran yang dapat merealisasikan komuniti dan kehidupan yang sejahtera.
“Keseimbangan dalam setiap pembangunan, sama ada dari aspek fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar perlu dititikberatkan.
“Visi bandar sejahtera yang saya impikan adalah sebuah bandar yang selesa didiami, pembangunannya dapat memenuhi citarasa semua kalangan masyarakat dari pelbagai agama, bangsa dan peringkat umur.
“Pembangunan perbandaran perlulah tidak mengorbankan alam sekitar, kehidupan-kehidupan sungai dan laut, flora dan fauna dan kehidupan insan itu sendiri,” jelas beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Bandar Sejahtera yang diadakan di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar.
Tambah beliau, dalam memberi keselesaan kepada rakyat yang semakin bertambah, semua jentera pentadbiran negeri perlu membuat perancangan teratur bagi memenuhi kemudahan, peluang pekerjaan, rawatan kesihatan, kemudahan pengangkutan dan jalanraya.
“Wawasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua telah digubal dan dibentangkan dalam Pelan Startegik Kedah Sejahtera bagi menetapkan halatuju pembangunan perbandaran, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, mewujudkan sebuah bandar yang berkomuniti dan kehidupan yang sejahtera menerusi pembangunan perbandaran yang mampan perlu menjadi agenda utama setiap pihak berkuasa tempatan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, tanah-tanah pertanian perlu dikekalkan sebagai sumber makanan utama rakyat Kedah dan juga Malaysia dan juga penglibatan rakyat kepada pembangunan bandar juga penting demi kesejahteraan semua.

Panduan pimpinan menghadapi cabaran perjuangan Islam


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat   
“Sempena Muktamar ke-57”
 Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).”  (Surah Asy-Syams 91:8-10)
Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.
Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.
Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.
Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.
Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.
Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.
Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.
Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).
Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.
Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.
Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.
Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.
Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.
Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.
Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?
Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.

Timbalan: Tuan Ibrahim tunggu surat pencalonan

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menunggu surat pencalonan daripada Jawatankuasa Pemilihan PAS sebelum memutuskan sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau sebaliknya pada muktamar kali ini.
“Saya tunggu surat pencalonan daripada Pusat, entah ada pencalonan ke tidak,” ujarnya berseloroh ketika dihubungi sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang tidak menyatakan pendiriannya sama ada bertanding atau tidak untuk jawatan timbalan presiden pada Muktamar Tahunan PAS yang akan diadakan di Taman Melewar bulan depan.
Sehingga kini, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyatakan akan mempertahankan jawatannya manakala AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu bertanding jawatan berkenaan.
Turut dicalonkan untuk bertanding Timbalan Presiden PAS ialah Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Salahudin bimbang penggabungan Bank Islam dan Bank Muamalat

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Langkah untuk menggabungkan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Muamalat diyakini berpunca dari tangan-tangan ghaib yang mengarahkan tindakan itu dilakukan, kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub. 

Naib Presiden PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, tindakan penggabungan itu diyakini dilakukan bagi menyelamatkan Bank Muamalat yang sedang mengalami masalah, walaupun ia terpaksa mengorbankan BIMB sendiri. 

Namun yang anehnya, kata beliau, sehingga kini tidak pula terdapat kenyataan rasmi yang dikeluarkan mengenai masalah yang dialami oleh Bank Muamalat. 

Katanya, PAS kurang senang dengan langkah penggabungan itu kerana ia jelas merupakan satu lagi tindakan bagi menyelamatkan sesebuah syarikat dengan menggunakan dana awam.

"Saya risau ini satu lagi 'bailout' yang merupakan budaya tidak sihat di negara kita dan akan terus membebankan rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. 

Minggu lalu, DRB-HICOM, pemegaqng saham utama Bank Muamalat, menjelaskan minatnya yang dinyatakan kepada Bank Islam hanyalah semata-mata mahu meninjau kemungkinan penggabungan itu.

Syarikat itu berkata, ia tidak menyatakan minat untuk menjual 70 peratus kepentingan dalam Bank Muamalat.

Cadangan penggabungan itu akan menyaksikan kemunculan bank Islam yang besar dan ini seiring dengan saranan kerajaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat antarabangsa terkemuka untuk kewangan Islam.

Menurut Salahuddin, tindakan penggabungan itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada Bank Islam terawal itu kerana BIMB adalah anak syarikat BIMB Holding Bhd, dengan Tabung Haji yang merupakan pemegang saham terbesarnya dalam BIMB sebanyak 51 peratus.  

“Jadi, apa guna Bank Islam mahu bergabung dengan Bank Muamalat? Apa faedahnya? Bank Islam sudah ada 115 cawangan di seluruh negara. 

"Apa guna Bank Islam mahukan lagi Bank Muamalat. Kalau cawangan sikit, baru ada rasional, tapi Bank Islam ada rangkaian di seluruh negara. Begitu juga dengan Tabung Haji,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. 

Beliau yang yakin dengan tindakan penggabungan itu dilakukan disebabkan Bank Muamalat mengalamai masalah besar, hairan dengan langkah penggabungan itu kerana ia pasti akan membebankan BIMB sendiri kerana terpaksa bergabung dengan bank yang bermasalah. 

Pemegang saham terbesar Bank Muamalat adalah DRB-HICOM iaitu 70 peratus, manakala bakinya sebanyak 30 peratus lagi dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd.

“Saya cukup bimbang berlaku satu lagi budaya tidak sihat yang akan merugikan rakyat di mana BIMB Holding mahu mengambil alih atau beli atau bergabung dengan Bank Muamalat.

“Bank Muamalat diharap telus dalam isu ini. Bank Muamalat mesti nyatakan status kewangannya dengan jelas, kena beritahu apa sebenarnya yang berlaku pada Bank Muamalat.

"Kalau ada masalah, apa masalah? Dan, apa guna Bank Islam mahu mengambil alih bank bermasalah ini?" jelasnya yang turut berhasrat untuk membangkitkan perkara itu pada persidangan Parlimen nanti.  

Beliau turut berjanji akan mengutus surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas kedudukannya selaku Ahli Parlimen bagi memaksa Bank Muamalat membekalkan kenyataan kewangannya.

"Jika ia beroperasi dengan lancar, kita ingin tahu selancar mana? Jika ia mencatatkan kerugian, berapa banyak yang rugi? Dan kenapa ia mahu bergabung dengan BIMB?” jelas beliau.

Ketua Pemuda: Keputusan malam ini?

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Pucuk pimpinan Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mesyuarat khas malam ini  antaranya untuk membincangkan pertandingan untuk jawatan utama dewan itu dalam muktamar akan datang.

Sehingga ini, tidak ada calon ketua pemuda yang mengesahkan pertandingan untuk jawatan yang disandang oleh Nasrudin Hassan itu. 

Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau menolak untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS biarpun dicalonkan.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau bagaimanapun memberitahu, akan bertanding merebut kerusi timbalan ketua.

"(Bertanding) ketua pemuda tak kot, timbalan sahaja,"katanya yang juga ahli parlimen Jerai.

Selain beliau, dua lagi calon yang layak bertanding jawatan nombor satu sayap pemuda PAS itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat.

Azman ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan tersebut, bergantung kepada keputusan rasmi Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Nasruddin Hassan.

"Saya ambil sikap begini, kalau Ustaz Nasruddin nak kekal, saya tak lawan, saya akan bagi laluan mudah.

"Kalau dia kata nak berundur untuk diberi calon lain, saya akan lawan.

"Apapun saya tunggu pendirian rasmi Ustaz Nasruddin dahulu,"katanya.

Seorang lagi calon, Suhaizan pula berkata, beliau masih belum membuat keputusan untuk bertanding atau tidak jawatan tersebut.

"Saya belum buat keputusan lagi. Lagi pun masa panjang lagi.

"Malam ni ada mesyuarat khas pemuda, dan saya akan bincang dahulu," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Sementara itu, keputusan rasmi calon yang bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini apabila kesemua calon menjawab surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilihan 2011.

Berikut ialah senarai penuh calon layak bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Azman Shapawi Abd Rani, ustaz
2. Mohd Firdaus Jaafar, ustaz YB
3. Nasruddin Hassan, usaz
4. Suhaizan Kaiat 

Timbalan Ketua

1.    Ahmad Sabki
2.    Azman Shafawi
3.    Firdaus Jaafar, YB
4.    Mohd Nor Hamzah, YB
5.    Nasaruddin Hassan
6.    Nik Abduh Nik Aziz
7.    Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
8.    Riduan Mohd Nor
9.    Suhaizan Kaiat

Naib Ketua

1.    Azman Shafawi, Ustaz
2.    Firdaus Jaafar, YB
3.    Kamaruzaman Mohamad
4.    Khairi Faizi Kamil
5.    Mohd Nor Hamzah
6.    Mohd Sany Hamzan
7.    Nasir Zakaria, YB
8.    Nik Abduh Nik Aziz
9.    Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
10.    Riduan Mohd Nor
11.    Sabki Yusof
12.    Suhaizan Kaiat

WikiLeaks dedah 19 ‘aktor berpengaruh’ dalam kitaran politik Najib


Kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS), yang terbocor dan disiarkan oleh Malaysia Today hari ini menyenaraikan 19 pemimpin bisnes utama sebagai “aktor-aktor berpengaruh” dalam kitar politik Datuk Seri Najib Razak — dua tahun selepas menjadi perdana menteri.
Najib kini berada di AS sempena lawatan kerja.
Maklumat kabel itu, yang ditulis oleh kaunselor politik Mark D. Clark untuk membantu Jabatan Negara AS meneliti pentadbiran dan keputusan-keputusan dasar Najib , adalah yang pertama diterbitkan menerusi Malaysia Today, kendalian Raja Petra Kamarudin, selepas ia menandatangani memorandum persefahaman dengan Wikileaks, Isnin lalu.
Pengerusi Ethos Capital Rohana Mahmood mengetuai senarai personaliti korporat.
Maklumat yang diterbitkan menunjukkan Rohana ada hubungan dengan kebanyakan syarikat yang berhubung kait dengan Najib, yang sebelum ini merupakan menteri pertahanan.
Pada 2008 Najib dilantik sebagai menteri kewangan, portfolio yang disandang sehingga kini.
Antara 19 pemimpin bisnes yang disenaraikan, Rohana sangat berkait rapat dengan kepentingan-kepentingan komersial keluarga Najib.
Rohana bersama pembantu rapat Najib, Abdul Razak Baginda, yang dibebaskan daripada kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu, menubuhkan Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia — badan pemikir yang menasihati beliau masa-masa lalu.
Pihak pembangkang seringkali mendakwa Altantuya, yang membantu dalam urusan pemerolehan kapal selam Scorpene bernilai RM3 bilion (AS$1 bilion), dibunuh disebabkan hubungannya dengan Najib, dakwaan yang dinafikan oleh perdana menteri.
Turut disertakan dalam senarai itu ialah pemilik MMC Corp Bhd, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp Bhd dan Pengerusi Hong Leong Group Quek Leng Chan.
“Syed Mokhtar Albukharry… mempunyai operasi bisnes yang signifikan dalam konstituensi Najib dan sektor pertahanan,” kata kabel itu.
The Malaysian Insider difahamkan Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Najib.
Syed Mokhtar memperluaskan empayar bisnesnya dengan memperoleh Pos Malaysia dan projek MRT Lembah Klang baru-baru ini.
Turut disenaraikan ialah:
6• Pengarah urusan Khazanah Nasional Azman Mokhtar;
7• Pengarah Khazanah Mohamed Azman Yahya, pengasas dan ketua eksekutif Symphony House Bhd;
8• Pengerusi dan ketua eksekutif Johan Holdings Bhd Tan Kay Hock, yang juga anggota Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA);
9• Shahril Shamsuddin dari Kumpulan Sapura;
10• Pengerusi jawatankuasa eksekutif Khazanah dan bekas pengarah urusan MAS Nor Yusof;
11• Pengerusi dan pengarah urusan Konsortium Transnational Bhd Mohd Nadzmi Mohd Salleh;
12• Pengarah eksekutif CIMB Group dan bekas konsultan Unit Perancang Ekonomi Dr Gan Wee Beng;
13• Pengasas bersama Ethos Capital Omar Mustapha Ong, bekas pegawai khas Najib;
14• Pengarah urusan dan ketua eksekutif Paramount Corporation Bhd Teo Chiang Quan;
15• Pengarah urusan TH Group Bhd Lei Lin Thai;
16• Ketua eksekutif Mamee Double Decker Bhd Pang Tee Chew;
17• Ketua eksekutif Multi Vest Resources Bhd (MVest) Kenneth Eswaran, yang menurut kabel rapat dengan isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor;
18• Ketua eksekutif Felda Holdings Bhd Bakke Salleh; dan
19• Ketua Lembaga Tabung Angkatan Tentera Lodin Wok Kamarudin.
Mesej kabel itu terdedah ini, yang ditulis sebelum Najib disahkan sebagai perdana menteri keenam pada April 2009, menyusul penerbitan siri pertukaran sulit antara Washington dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam Asia Sentinel membutirkan keprihatinan AS berhubung perbicaraan dua anggota polis yang dituduh membunuh Altantuya.
clara chooi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme