Bandar Sejahtera yang diimpikan


ALOR SETAR – Bandar yang sejahtera merupakan bandar yang mampu memberi keamanan, keselesaan, selamat didiami, bersih, indah dan dapat memberi kenikmatan hidup dalam suasana riang gembira serta dalam pemeliharaan Allah S.W.T.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, setiap pembangunan perbandaran perlu dilihat dan diberi penekanan ke arah mewujudkan persekitaran yang dapat merealisasikan komuniti dan kehidupan yang sejahtera.
“Keseimbangan dalam setiap pembangunan, sama ada dari aspek fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar perlu dititikberatkan.
“Visi bandar sejahtera yang saya impikan adalah sebuah bandar yang selesa didiami, pembangunannya dapat memenuhi citarasa semua kalangan masyarakat dari pelbagai agama, bangsa dan peringkat umur.
“Pembangunan perbandaran perlulah tidak mengorbankan alam sekitar, kehidupan-kehidupan sungai dan laut, flora dan fauna dan kehidupan insan itu sendiri,” jelas beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Bandar Sejahtera yang diadakan di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar.
Tambah beliau, dalam memberi keselesaan kepada rakyat yang semakin bertambah, semua jentera pentadbiran negeri perlu membuat perancangan teratur bagi memenuhi kemudahan, peluang pekerjaan, rawatan kesihatan, kemudahan pengangkutan dan jalanraya.
“Wawasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua telah digubal dan dibentangkan dalam Pelan Startegik Kedah Sejahtera bagi menetapkan halatuju pembangunan perbandaran, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, mewujudkan sebuah bandar yang berkomuniti dan kehidupan yang sejahtera menerusi pembangunan perbandaran yang mampan perlu menjadi agenda utama setiap pihak berkuasa tempatan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, tanah-tanah pertanian perlu dikekalkan sebagai sumber makanan utama rakyat Kedah dan juga Malaysia dan juga penglibatan rakyat kepada pembangunan bandar juga penting demi kesejahteraan semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme