‘Saya gembira Presiden PAS lawat kampus Insaniah’

KUALA KETIL, 18 Mei:  “Saya merasa seronok apabila Presiden PAS, YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang datang ke Negeri Kedah untuk melihat tapak projek pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil.”
Itulah kata-kata Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada rombongan Jawatankuasa Harian PAS Pusat ke Negeri Kedah yang diketuai oleh YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di tapak projek pembinaan kampus tetap KUIN di sini.
Menteri Besar memberitahu, tujuan utama PAS Pusat mengadakan lawatan ke Negeri Kedah adalah untuk melihat projek yang dilaksanakan di negeri ini.
“Kita mengalu-alukan kedatangan rombongan Presiden PAS ke negeri Kedah Darul Aman bagi meninjau perkembangan projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Menurutnya, kampus tetap KUIN di sini kini giat dibangunkan mengikut jadual  dan pembinaan kampus tetap ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2013.
“Projek ini sudah 26 peratus siap dan apabila siap kelak, kampus tetap KUIN di sini mampu menampung seramai 10,000 penuntut,” katanya.
Sementara itu, YAB. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, beliau amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Kedah.
“Kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Kedah sangat baik setelah mendengar taklimat mengenai perkembangan projek yang dilaksanakan di negeri ini oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak,” tambahnya.
Abdul Hadi berharap dengan adanya lawatan itu, ia secara tidak langsung dapat memberi gambaran terbaik dalam usaha meninjau perkembangan projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, YB. Dato’ Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme